Pages

 

Saturday, 11 May 2013

PEMILIHAN BAHAN BACAAN



Kelakuan, kebolehan dan keupayaan membaca, dan minat golongan muda membaca berbeza-beza mengikut peringkat umur. Setiap peringkat mempunyai ciri-ciri psikologi yang berbeza.  Oleh itu, persembahan dan penyampaian yang sesuai amat diperlukan dalam sesebuah bahan bacaan. Oleh itu terdapat beberapa komponen penting yang perlu diambil kira dalam proses pemilihan bahan bacaan.

1.      Sesuai mengikut peringkat umur
Pemilihan bahan bacaan mestilah sesuai dengan peringkat umur pembaca. Pemilihan bahan bacaan yang sesuai penting kerana setiap perbendaharaan kata dan bahasa yang digunakan boleh difahami oleh pelajar. Terdapat dua jenis bahan bacaan iaitu fiksyen dan bukan fiksyen.

2.      Fizikal
Fizikal yang dimaksudkan ialah fizikal bahan bacaan tersebut haruslah menarik minat pelajar. Fizikal bahan bacaan ini merangkumi reka bentuk termasuk saiz dan komponen, saiz font, dan keterampilan bahan tersebut. Bagi kanak-kanak keadaan bahan bacaan haruslah sesuai dengan umur dan keadaan kanak-kanak tersebut agar dapat menarik perhatian kanak-kanak untuk membaca.

3.      Isi kandungan
Bahan bacaan yang baik ialah mempunyai isi kandungan yang bertepatan dengan tajuk. Pelajar harus mengenal jenis bahan bacaan yang dibaca sama ada berbentuk fiksyen atau bukan fiksyen. Selain itu, mempunyai kandungan yang dapat memberi mesej dan pengajaran kepada pembaca. Pemilihan bahan bacaan yang tepat dapat meransang kesedaran dan pemikiran yang kritis para pembaca

4.      Bahasa yang sesuai
Pemilihan bahan bacaan yang sesuai dapat membantu pelajar meningkatkan literasi. Contohnya dalam penggunaan kosa kata, rangkai kata, tatabahasa dan frasa yang sesuai dengan tahap pemikiran pembaca.





MASALAH DALAM MEMBACA




1) faktor dalaman
·        

  •  aspek intelektual

Aspek intelektual seperti kecerdasan, kebolehan berbahasa, dan pengalaman sedia ada merupakan salah satu faktor dalaman yang mempergaruhi masalah membaca. Aspek kecerdasan dan kebolehan pelajar membaca saling berkait. Sekiranya pelajar yang mempunyai tahap kecerdasan minda yang tinggi, nescaya mereka mampu untuk memberi perhatian dan memahami sesuatu struktur ayat yang dibaca lebih mudah tanpa perlu menggulang dan meneliti berulang kali. Berbeza dengan pelajar yang mempunyai tahap kecerdasan yang lebih rendah kerana mereka akan mengambil masa yang lebih lama untuk memahamkan sesuatu bahan yang dibaca. Menurut Roe, Stoodt dan Burn (1978), pertalian yang rapat antara kecerdasan dan kebolehan membaca ini lebih ketara dalam kalangan pelajar  pada peringkat menengah daripada murid peringkat rendah. Perkara ini akan menimbulkan masalah kepada pelajar diperingkat menengah kerana kecerdasan dan kemampuan untuk memahami struktur ayat yang lebih kompleks dan canggih. Kesannya, pelajar yang mempunyai tahap kemampuan kecerdasan akal yang rendah akan mengalami kesukaran untuk mengejar dan bersaing dalam matapelajaran yang dipelajarinya.


  • psikologi

Faktor psikologi terbahagi kepada dua iaitu kurang minat belajar dan kurang mengambil perhatian semasa sesi pembelajaran dijalankan. Faktor tidak minat membaca merupakan salah satu faktor yang menyumbang kepada wujudnya masalah membaca dalam kalangan pelajar. Hal ini diakui oleh para guru pada masa kini menyatakan bahawa semasa mereka menjalankan sesi pembelajaran dan pengajaran murid yang kurang berminat dengan membaca kurang memberi tumpuan berbanding pelajar yang mempunyai sikap dan tabiat yang suka membaca. Apabila sikap minat terhadap amalan membaca itu kurang dalam diri seseorang pelajar secara tidak lansung akan memberi kesan negatif terhadap pelajaran mereka.  Maka, tidak hairanlah sikap kurang minat terhadap membaca dalam diri seseorang pelajar merupakan terjadinya masalah membaca dalam kalangan pelajar.Kemahiran membaca sebenarnya memerlukan pembelajaran berterusan untuk memahirkan seseorang pelajar dengan huruf-huruf dan struktur ayat.Maka, minat dan motivasi amat diperlukan seseorang pelajar untuk menyemai minat membaca. Menurut Sylvia Ashton Warner (1973), satu kaedah untuk meningkatkan minat membaca dan memotivasikan pelajar membaca dengan menggunakan cerita-cerita yang dibuat oleh pelajar sendiri berdasarkan topik-topik yang diminatinya. Pada kebiasaanya, pelajar akan tertarik sesuatu bahan bacaan yang menarik minatnya. Sekiranya sesuatu bahan bacaan yang dapat menarik minat mereka, maka mereka akan terus membaca walaupun sesuatu bahan bacaan yang dibaca itu dianggap susah berdasarkan peringkat umur mereka. Dalam konteks ini, guru perlu peka terhadap persekitaran yang berlaku di sekeliling pelajar supaya pelajar lebih minat untuk menerapkan minat pembacaan dari awal usia lagi.

2) faktor luaran


  •   fizikal

                               I.            penglihatan                    
Kebolehan melihat merupakan sesuatu yang sangat penting dalam proses membaca kerana membaca memerlukan keupayaan melihat untuk mengenalpasti kod atau lambang bercetak untuk difahami dalam bentuk maklumat.

(a) Juling- menggunakan (fokus) kedua-dua biji mata ke arah yang sama. Hal ini mengakibatkan imej bagi satu benda yang sama kelihatan tidak sama saiz dan bentuknya.

(b)   Rabun dekat- tidak dapat melihat pada jarak yang jauh.

(c)   Rabun jauh- tidak dapat melihat bagi jarak yang dekat.

(d)  Astigmatism- penglihatan yang kabur berpunca daripada kurang fokus cahaya pada salah satu atau kedua-dua hujung retina.

(e)    Amblyopiks- satu keadaan imej daripada salah satu biji mata tidak sampai ke otak.

II. pendengaran     

Pelajar yang mempunyai masalah pendengaran yang teruk akan menghadapi masalah untuk belajar membaca. Pelajar yang mempunyai masalah pendengaran yang ringan boleh dibantu dengan teknik yang dapat meningkatkan perbendaharaan kata. Mereka yang mempunyai masalah pendengaran turut akan mengalami masalah untuk membezakan bunyi vokal dan konsonan. Misalnya, murid-murid tidak boleh membezakan antara vokal a dengan vokal e, u dengan o, i dengan e. Kerencatan pendengaran juga terdapat dalam dua kategori iaitu kerencatan sementara dan kerencatan kekal.

III. kecederaan otak      




Kecederaan otak boleh berlaku sebelum kelahiran bayi di mana ibu yang mengandung mengambil alkohol atau dadah, dijangkiti demam campak atau merokok. Kecederaan otak juga boleh berlaku semasa kelahiran seperti bayi kekurangan oksigen. Selepas kelahiran, kecederaan otak boleh berlaku disebabkan demam panas, hentakan yang kuat pada bahagian kepala akibat kemalangan dan jangkitan seperti meningitis.


  • ·persekitaran

(a) kurang kasih sayang keluarga
Faktor kurang kasih sayang keluarga terutamanya daripada kedua ibu bapa adalah akan menyumbang impak yang besar dalam perkembangan emosi anak-anak yang seterusnya boleh menjejaskan pembelajaran mereka. Hal ini demikian kerana, kurangnya kasih sayang ini boleh menyebabkan anak-anak terabai tanpa pemantauan dan perhatian yang sepenuhnya dari orang tua mereka amnya kepada ibu bapa yang sibuk dengan kerjaya. Oleh itu, masalah ini boleh memberi kesan terhadap pembelajaran mereka kerana tiada didikan dan kasih sayang yang diberikan untuk anak-anak mereka.

(b)kurang zat makanan
Kekurangan zat makanan dalam diri seseorang boleh menjejaskan perkembangan kognitif berbeza dengan individu yang sentiasa mengambil pemakanan yang secukupnya mengikut cadangan berdasarkan piramid makanan terutamanya pengambilan protein dan vitamin. Hal ini demikian kerana, pengambilan protein adalah sejenis nutrien yang melaksanakan pelbagai fungsi dalam tubuh kita. Ia membantu organ  mata untuk melihat, mengecutkan otot dan pembekuan darah. Selain itu, ia membolehkan murid-murid menjadi aktif dengan memudahkan tindak balas kimia melalui enzim dan melindunginya terhadap jangkitan. Tanpa protein, organ dan akal tidak dapat berfungsi dengan baik. Begitu juga dengan pengambilan vitamin. Vitamin seperti buah-buahan dan sayur-sayuran memberikan kebaikan yang besar kepada badan kerana membantu perkembangan fizikal dan mental dengan lebih baik. Contohnya  lobak merah dan salah satu fungsinya adalah baik untuk mencergaskan tubuh badan dan menguatkan ingatan seterusnya boleh mengurangkan masalah dalam membaca yang dihadapi oleh kanak-kanak.

(c)kemiskinan
Faktor kemiskinan yang dialami oleh sesetengah murid boleh menyebabkan mereka mengalami kekangan untuk memiliki bahan-bahan yang diperlukan dalam pembelajaran khasnya buku. Dalam memastikan pembacaan seseorang murid berjalan lancar bahan rujukan seperti buku merupakan bahan utama yang harus dimiliki oleh murid-murid kerana buku memudahkan mereka untuk melancarkan bacaan kerana mendapat bantuan daripada ilustari mahupun warna. Oleh itu, murid-murid yang tidak mampu untuk membeli akan memberi masalah untuk diri mereka dalam memantapkan bacaannya.



BELAJAR MEMBACA



Proses membaca sangat berkait rapat dengan proses penglihatan. Lambang, simbol atau tulisan-tulisan yang dilihat pada satu permukaan dapat ditukarkan menjadi persembahan minda yang bermakna. Mata dalam proses membaca akan berfungsi untuk melihat simbol, lambang ataupun tulisan. Ketika membaca, mata akan bergerak mengikut garis dalam bahan yang bertulis. Mata akan tertumpu pada sesuatu bahagian dalam perkataan, perkataan dan ayat mengikut kelancaran pembaca.  Bahan bertulis yang dilihat itu akan ditukar menjadi isyarat dan isyarat seterusnya ditukar menjadi maklumat. Maklumat itu akan dihantar ke otak untuk proses pembentukan makna ataupun kefahaman. Langkah pertama untuk membaca ialah mengenalpasti permukaan bercetak dan memecahkan kod perkataan. Kemudian mengenalpasti bentuk ortografik dan seterusnya memperoleh maksud perkataan berdasarkan kamus makna yang terdapat dalam pemikiran pembaca.
Seseorang pembaca haruslah mempunyai strategi untuk memudah memperoleh kefahaman dengan cepat dan mudah. Strategi utama dalam proses memperoleh kefahaman ialah pembaca haruslah mempunyai motivasi dan tujuan. Bahan yang mudah difahami akan memberikan motivasi kepada seseorang untuk membaca dan sebaliknya bahan yang sukar akan menyebabkan seseorang akan kehilangan motivasi untuk meneruskan pembacaan. Namun, motivasi terhadap sesuatu bahan bacaan tidak seharusnya hilang hanya kerana bahan itu sukar dibaca dan difahami. Seseorang itu haruslah bijak mencari bahan bacaan yang lebih mudah difahami bagi meneruskan motivasi terhadap perkara yang ingin diketahuinya itu. Selain motivasi, tujuan juga merupakan strategi yang dapat membantu kita untuk memahami sesuatu bahan bacaan. Membaca sudah semestinya mempunyai tujuan tertentu. Misalnya, membaca untuk menghilangkan rasa bosan, membaca untuk mendapat ilmu, membaca untuk mengetahui harga barang dan lain-lain lagi. Pembacaan mempunyai banyak tujuan. Dengan tujuan-tujuan inilah kita lebih mahu membaca secara serius tentang sesuatu perkara.
Dalam belajar membaca, guru perlu menyokong murid dengan memberikan panduan mengenai cara untuk memahami sesuatu frasa atau perkataan dengan mengaitkan frasa atau perkataan tersebut dengan maksud keseluruhan petikan. Guru juga boleh menambah kefahaman muridnya dengan menggunakan gambar rajah bagi memperlihat maksud secara bersepadu. Selain itu, guru boleh memberikan sokongan pemahaman dengan memberikan pelajarnya peluang untuk melawat kembali pemahaman yang mereka ragukan. Setelah mempunyai kemahiran yang kukuh untuk memahami, guru bolehlah melepaskan pelajar tersebut untuk memahami bahan bacaannya sendiri tanpa sokongan guru. Antaranya dengan menentukan bahan yang bersesuaian, panjang pendek, kedalaman kandungan bahan yang dikemukan kepada pelajar dan penggunaan bahasa dalam petikan. Guru juga boleh mengadakan sesi persidangan membaca bagi pelajar yang memerlukan sokongan yang lebih kerap. Dalam sesi ini, guru perlu banyak menjalankan teknik permodelan, iaitu guru membaca dan diikuti oleh pelajar yang lemah tersebut dalam satu tempoh yang singkat tetapi kerap. Guru juga boleh melaksanakan teknik memecahkan ayat yang panjang kepada ayat yang lebih pendek supaya lebih mudah difahami bagi kelas atau kumpulan yang bermasalah memahami petikan yang sukar.
Seorang pembaca yang aktif akan menggunakan pelbagai strategi untuk memudahkan pemahamannya. Ketika membaca, mereka akan menguji pemahaman dengan menyimpan rekod terhadap isi penting bahan bacaan. Mereka juga akan mengintegrasi antara maklumat baru dan lama dengan membuat hubungan, taakulan, mencipta pembayangan atau menokok tambah apa yang diperkatakan oleh penulis.
Seseorang pelajar lazimnya terpaksa banyak membaca. Dalam konteks sekolah bestari, pelajar digalakkan mendapatkan maklumat dari pelbagai sumber. Mereka membaca untuk pelbagai tujuan. Ada masanya mereka perlu membaca secara meluas atau ekstensif. Ada masanya pula mereka perlu membaca secara intensif atau mendalam. Untuk menjadi seorang pembaca yang berkesan, pelajar perlu menguasai dan mengamalkan beberapa teknik membaca. Oleh itu guru perlu membimbing pelajar pelajar menguasai teknik-teknik tersebut dari peringkat sekolah rendah lagi. Secara umumnya seseorang perlu menguasai dua teknik membaca, iaitu membaca pantas dan membaca kritis.





Untuk membaca pantas seseorang boleh menggunakan teknik skimming dan scanning, manakala untuk membaca dengan kritis seseorang boleh menggunakan teknik seperti KWLH dan SQ3R.

Teknik Membaca KWLH
KWLH adalah singkatan bagi yang berikut:
K (know)         Apa yang telah diketahui (sebelum membaca)
W (want)         Apa yang hendak diketahui (sebelum membaca)
L (learned)      Apa yang telah diketahui (selepas membaca)
H (how)       Bagaimana mendapatkan maklumat tambahan yang berkaitan (untuk membaca seterusnya)
Apa yang jelas dari penerangan tersebut ialah suatu teknik membaca kritis di mana pembaca:
v  Mengingat dahulu apa yang telah diketahui
v  Membayang atau menentukan apa yang ingin diketahui
v  Melakukan pembacaan (bahan yang telah dipilih)
v  Mengetahui apa yang telah diperoleh dari pembacaan yang baru dilakukan
v  Menentukan apa lagi yang perlu diperoleh (sekiranya perlu membuat pembacaan seterusnya)
Teknik pembacaan akan membolehkan pelajar:
v  Mengaitkan pengetahuan yang sedia ada dengan apa yang dibaca
v  Menentuka apa yang telah diperoleh dari pembacaannya
v  Menentukan apakh lagi bahan yang perlu dibaca sekiranya ingin mendapat maklumat tambahan
Dalam konteks pengajaran, pelajar dibiasakan menggunakan borang seperti yang di bawah sekiranya dikehendaki menggunakan teknik KWLH.

Ø  Know (K)                   Apa yang sudah diketahui?
Ø  Want (W)                   Apa yang hendak diketahui?
Ø  Learned (L)               Apa yang telah dipelajari/diperoleh?
Ø  How (H)                     Apa lagi maklumat tambahan diperlukan?
                                   
Teknik Membaca SQ3R
SQ3R ialah teknik membaca kritis yang telah diperkenalkan oleh Robinson (1961). Ia merupakan satu kaedah membaca yang memerlukan seseorang mempersoal kesesuaian maklumat yang terdapat dalam suatu bahan yang dibaca dengan tugasan yang perlu diselesaikan.
SQ3R adalah singkatan bagi:
S (survey)                  tinjau
Q (question)              soal/tanya
R (read)                      baca
R (recite)                    imbas kembali atau nyatakan secara lisan
R (review)                  baca semula

Survey (tinjau) ialah langkah membaca untuk mendapatkan gambaran keseluruhan tentang apa yang terkandung di dalam bahan yang dibaca. Ini dilakukan dengan meneliti tajuk besar, tajuk-tajuk kecil, gambar-gambar atau ilustrasi, lakaran grafik, membaca perenggan pengenalan, dan perenggan terakhir di bahagian-bahagian buku atau  teks. Di sini juga pelajar sebenarnya menggunakan teknik membaca pantas iaitu skimming dan scanning.
Question (soal atau tanya) ialah langkah yang memerlukan pelajar menyenaraikan satu siri soalan mengenai teks tersebut setelah mendapati teks tersebut berkaitan dengan keperluan tugasannya. Soalan-soalan tersebut menunjukkan keinginan pembaca tentang maklumat yang ingin diperoleh dari bahan tersebut, dan ianya menjadi garis panduan semasa membaca kelak. Pelajar akan cuba mencari jawapan kepada soalan-soalan tersebut.
 Read (baca) ialah peringkat pelajar sebenarnya membaca bahan atau teks tersebut secara aktif serta mencuba mendapat segala jawapan kepada soalan-soalan yang telah disenaraiakannya sebelum ini. Ketika membaca, pelajar mungkin juga akan menyenaraikan soalan-soalan tambahan, berdasarkan perkembangan kefahaman dan keinginannya sepanjang melakukan pembacaan. Pelajar mungkin juga mempersoal pendapat atau maklumat yang terdapat yang ditemuinya.
Recite (imbas kembali) ialah peringkat yang ketiga.Setelah selesai membaca, pelajar cuba mengingat kembali apa yang telah dibaca dan meneliti segala yang telah diperoleh. Pemilihan maklumat yang sesuai dilakukan dalam konteks tugasannya. Pelajar juga boleh cuba menjawab soalan-soalan yang disenaraikan sebelumnya tanpa merujuk kepada kepada nota atau bahan yang telah dibaca.
Review (baca semula) merupakan peringkat terakhir. Pelajar membaca bahagian-bahagian buku atau teks secara berpilih untuk mengesahkan jawapan-jawapan kepada soalan yang dibuatnya di langkah ketiga. Pelajar juga memastikan tiada fakta penting yang tertinggal.
Skimming dan scanning
Teknik skimming dan scanning ini sesuai digunakan untuk pembacaan bahan yang ringkas seperti sesuatu petikan mahu pun bahan bacaan yang lebih panjang seperti buku, jurnal dan majalah. Dalam pembacaan sesuatu petikan, kita hanya memberi perhatian kepada idea penting setiap perengan untuk mendapat gambaram umum. Idea-idea khusus sengaja diabaikan. Dalam pembacaan sesebuah buku pula. fokus kita diberikan  kepada bahagian tertentu di dalam buku itu seperti pengenalan, prakata, isi kandungan, tajuk utama, rumusan pada akhir bab dan rujukan indeks untuk mendapat gambaran umum tentang perkara yang dibaca.
Scanning ialah pembacaan cepat untuk mendapat maklumat yang khusus dan bukan untuk mendapat gambaran keseluruhan sesuatu bahan bacaan. Pembacaan cara ini boleh melangkau bahagian-bahagian tertentu yang difikirkan kurang penting. Ketika kita membaca, kita akan menggerakkan mata kita dari atas ke bawah dengan pantas mengikut muka surat petikan yang dibaca sambil menberi tumpuan kepada maklumat yang dicari. Oleh yang demikian, pembacaan cara ini adakah lebih cepat daripada pembacaan cara skimming.
Dalam konteks pembelajaran, skimming dan scanning boleh digunakan bersama. Biasanya, kita boleh membaca cara skimming untuk menentukan kesesuaian sesuatu bahan bacaan . Jika bahan berkenaan itu didapati sesuai maka kita boleh menggunakan teknik scanning untuk mendapatkan maklumat khusus yang dicari.
Dalam proses kemahiran belajar, kemahiran membaca seharusnya tidak dipandang remeh oleh pelajar. Kemahiran membaca yang betul akan dapat meningkatkan pemahaman dengan lebih berkesan. Oleh itu teknik membaca yang betul amat penting dalam suatu proses pembelajaran, Berikut adalah beberapa teknik dapat membantu mempertingkatkan kemahiran membaca:

1.    Membaca secara BERHATI-HATI
ü  Beri tumpuan terhadap apa yang dibaca
ü  Cuba fahami fakta-fakta penting sepenuhnya
ü  Elakkan gangguan radio dan televisyen
2.    Membaca secara MENYELURUH
ü  Bacaan hendaklah menyeluruh daripada pengenalan hingga ayat terakhir
ü  Jangan anggap bahagian pengenalan kurang penting
ü  Bahagian pengenalan memberi gambaran tentang isi kandungan bab.
3.    Membaca secara BERULANG-ULANG
ü  Bacaan  berulang membantu mengingat fakta dengan lebih baik
ü  Isi-isi juga dapat difahami secara mendalam
ü  Ini dapat mengelakkan daripada tertinggal membaca fakta penting.

4.    Membaca dalam SUASANA yang SELESA
ü  Lampu hendaklah dipasang dengan terang.
ü  Suasana tempat membaca hendaklah sunyi dan senyap.
ü  Udara sekitar mestilah mencukupi
ü  Suhu bilik sederhana. Tidak terlalu panas dan tidak terlalu sejuk. Jika perlu pasang kipas.

5.    Berasa dalam KEADAAN selesa
ü  Duduk dengan betul
ü  Pastikan tidak demam, pening, selsema dan sebagainya.
ü  Jangan berbaring ketika membaca. seseorang itu mungkin tertidur atau mengantuk.

6.    Baca secara PERPERINGKAT
ü  Peringkat permulaan : baca sekali imbas untuk mendapatkan isi keseluruhan.
ü  Peringkat seterusnya ; membaca isi untuk mendapatkan maklumat: pada peringkat ini teknik mengingat dan menulis nota digunakan.

7.    Cuba BENTUK SOALAN ketika membaca
Gunakan kaedah 1 husband 6 wives
Dengan membentuk soalan, seseorang akan lebih ingat isi yang dibaca.

8.    CATATKAN isi yang dibaca
ü  Dengan mencatat, seseorang pelajar dapat menggunakan tiga kaedah sekali gus: membaca, mencatat, mengingat.
ü  Ketika mencatat pelajar akan berfikir “Apakah yang perlu dicatat?” Ingatan pelajar menjadi lebih tajam.

9.     Gunakan BAHAN PEMBELAJARAN LAIN ketika membaca
ü  Pastikan pen, highlighter, kamus, penanda buku ada di sisi.
ü  Tandakan isi-isi penting dengan highlighter.
ü  Gunakan kamus untuk mencari perbendaharaan kata yang sukar.
ü  Gunakan penanda buku untuk merujuk semula sesuatu bahagian.
ü  Gunakan pen untuk menulis isi-isi penting.